30 Mac 2024 Johor Bahru – Khariz Builders (M) Sdn Bhd amat komited terhadap tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarat setempat. Sempena bulan Ramadhan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun ini, Khariz Builders (M) Sdn Bhd bersama usahawan-usahawan pasukan Funnel Evo High Level Coaching Selatan telah melaksanakan program “Ziarah dan Kemas” di lokasi PPR Kempas dan PPR Desa Mutiara Johor Bahru. Program ini adalah sebahagian daripada usaha untuk mengenalpasti masalah golongan yang memerlukan di samping memberi sumbangan dan bantuan.
Antara aktiviti yang dilakukan adalah termasuk menziarahi kediaman golongan asnaf. Pasukan kami berpeluang berinteraksi dengan mereka secara langsung, mendengar masalah mereka, serta memberikan sokongan moral dan emosi. Pasukan kami juga turut membantu dalam membersih dan mengemaskan kediaman mereka bertujuan memberikan keselesaan dan kebersihan persekitaran kediaman mereka. Sumbangan barangan runcit termasuk bahan makanan asas dan keperluan harian lain turut diberikan bagi membantu meringankan beban mereka.
Pasukan kami juga berkesempatan memberikan pakaian dan duit raya buat mereka bertujuan memberi impak positif dan semangat kepada mereka agar sambutan Hari Raya Aidilfirti mereka tahun ini lebih gembira, ceria dan bermakna.
Khariz Builders (M) Sdn Bhd ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat khususnya usahawan-usahawan pasukan Funnel Evo High Level Coaching Selatan yang telah sama-sama menjayakan program ini secara langsung dan tidak langsung. Kami juga berharap agar program ini akan diteruskan di tahun-tahun berikutnya.
Hebatnya pahala bersedekah bukan sahaja diberi kelapangan di alam kubur, malah diberi naungan Allah S.W.T. pada hari akhirat. Baginda S.A.W. telah bersabda, yang bermaksud:
“Sesiapa yang berinfak (hartanya) sebanyak dua kali di jalan Allah maka dia akan diseru untuk masuk melalui pintu syurga. “Wahai hamba Allah, ini adalah kebaikan.” Sesiapa yang banyak melakukan solat maka dia akan dipanggil (masuk syurga) melalui pintu solat. Sesiapa yang banyak berjihad maka dia akan diseru melalui pintu jihad. Sesiapa yang banyak berpuasa maka dia akan dipanggil melalui pintu puasa. Dan sesiapa yang banyak bersedekah maka dia akan dipanggil melalui pintu sedekah” – Hadis Riwayat al-Bukhari dan al-Muslim.
Be the first to learn about our latest blogs and projects.