18 November 2024, Kuala Lumpur – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) telah menganugerahkan 70 penerima daripada pelbagai syarikat dan individu dalam sektor pembinaan sempena Anugerah Kecemerlangan Industri Pembinaan Malaysia 2024 (MCIEA 2024) yang berlangsung di M Resort & Hotel di sini Isnin lalu.
Anugerah kecemerlangan tersebut merangkumi lima kategori iaitu Anugerah Kontraktor Terbaik, Anugerah Projek Terbaik (untuk kategori Projek Bangunan dan Projek Infrastruktur), Anugerah Pencapaian Antarabangsa, Anugerah Jurubina Terbaik, dan Anugerah Tokoh Terkemuka. 70 penerima anugerah itu meliputi pelbagai kategori termasuk projek, klien, kontraktor, arkitek, jurutera, juruukur bahan serta individu.
Pengiktirafan yang amat bermakna ini telah disampaikan oleh Timbalan Ketua Eksekutif CIDB, Pn. Zainora Zainal kepada Pengarah Syarikat Khariz Builders (M) Sdn. Bhd., Tn. Ibrahim Hanif Md. Ghazali yang telah dinobatkan sebagai Kontraktor Terbaik Gred G3. Turut hadir dan menyampaikan anugerah berprestij itu ialah Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Azman Ibrahim, Pengerusi CIDB, Ir. Yusof Wahab, dan Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Sr Mohd. Zaid Zakaria.
Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Sr. Mohd. Zaid Zakaria berkata, MCIEA bertujuan mengiktiraf pemain industri daripada hasil binaan, organisasi dan juga individu. “Penilaian pemenang, pemilihan dan penghakiman akhir melalui proses kehakiman yang ketat dan telus dengan beberapa pusingan semakan oleh 40 penilai dan enam orang juri yang dilantik khas.”
Menurut beliau, anugerah itu juga diadakan bagi meraikan keseluruhan ekosistem industri pembinaan, mengiktiraf sumbangan daripada semua peringkat, daripada individu yang bercita-cita tinggi hingga ke firma besar yang menjalankan projek dengan cemerlang.
“Setiap kategori dinilai berdasarkan pada aspek industri yang berbeza seperti sumbangan, standard kualiti tinggi, keselamatan dan penjagaan alam sekitar. “Anugerah ini juga bukan sekadar meraikan kejayaan mereka tetapi juga meraikan kekuatan, semangat dan usaha mereka mengejar kecemerlangan tanpa henti dalam memberikan yang terbaik dalam industri ini,” ujarnya.
Pengarah Syarikat Khariz Builders (M) Sdn. Bhd., Tn. Ibrahim Hanif Md. Ghazali berkata, anugerah itu melambangkan hasil kerja keras pasukannya yang telah berkecimpung lama dalam industri pembinaan di Malaysia.
“Alhamdulillah, untuk masa hadapan, syarikat kami bersedia membantu kontraktor-kontraktor baru yang ingin menceburi bidang pembinaan dan akan berusaha keras untuk memajukan industri ini dengan memberikan sedikit bimbingan kepada mereka yang memerlukan.
“InsyaAllah, dengan usaha kami dan pengalaman yang boleh dikongsikan kepada mereka ini, industri pembinaan akan terus berkembang serta menyumbang kepada ekonomi dan pembangunan negara,” katanya.
Beliau berkata, syarikat itu menekankan kualiti, integriti, dan ketelusan dalam semua aspek operasi sebagai strategi utama dalam mendapatkan pengiktirafan itu.
“Dari aspek pengurusan projek sehingga selesai, kami akan memastikan setiap langkah yang dilakukan perlu memenuhi standard tertinggi untuk memberikan hasil yang terbaik daripada syarikat kami,” katanya.
“Anugerah ini melambangkan komitmen dan usaha gigih setiap individu dalam organisasi kami daripada pasukan pengurusan hingga ke pasukan projek yang sentiasa mengutamakan kualiti kerja tertinggi, mematuhi piawaian keselamatan, dan menjunjung nilai integriti dalam setiap projek yang dilaksanakan.”
“Kami juga menyedari bahawa pengiktirafan ini tidak akan tercapai tanpa sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada pelanggan, rakan strategik, dan seluruh ekosistem industri pembinaan. Kepercayaan yang diberikan menjadi asas kepada pencapaian ini, sekaligus memperkukuh misi kami untuk terus menerajui inovasi dan kecemerlangan dalam perkhidmatan kami.” katanya.
“Sebagai penerima anugerah yang berprestij ini, kami beriltizam menjadikannya sebagai batu loncatan untuk memperkukuh kedudukan syarikat dalam industri pembinaan, menyumbang kepada kemajuan negara, dan terus berdaya saing dalam mencapai kecemerlangan.” katanya.
Terima kasih atas sokongan anda. Bersama-sama, kita akan terus membina masa depan yang lebih gemilang!
Be the first to learn about our latest blogs and projects.